30 Oktober 2012

LITAR LUMBA

Catatan Ayah



Selasa
15 Zulhijjah 1433
30 Oktober 2012



Assalamu'alaikum,



Kali ni... aku nak kongsi satu artikel yang ditulis oleh salah seorang sahabat permotoran aku... iaitu Ustaz Asyraf Ismail dari Ipoh, Perak mengenai keperluan penambahan Litar Lumba di Malaysia ni...


Photobucket



BINALAH LITAR LUMBA!

Timbul satu fenomena baru dalam sukan permotoran Malaysia apabila nama Zulfahmi Khairuddin mula menjadi buah mulut rakyat Malaysia terutama peminat sukan ini. Tidak ketinggalan para pemimpin mula memperkatakan kejayaan ini satu kebanggaan yang patut diraikan bersama. Kejayaan menampilkan pelumba bertaraf dunia seperti Zulfahmi bukanlah satu usaha yang mudah dan jalan yang singkat. Namun, sedarkah kita sebenarnya Malaysia mempunyai ramai lagi bintang sukan permotoran yang setaraf Zulfahmi jika digilap maupun mungkin boleh menjadi lebih hebat. Usaha berterusan menggilap bakat muda ini tidak harus dipandang sebelah mata. Sukan permotoran bukan lagi sukan picisan, namun ia boleh dan telah memberi sumbangan yang besar kepada Malaysia.

Apa yang ingin diperkatakan penulis kali ini adalah kekurangan prasarana sesuai yang boleh merancakkan sukan permotoran secara sihat. Siapa tak kenal ’Mat Rempit’? Bahkan filem Melayu juga telah mengambil sempena nama ini sebagai tajuk filem. Kisah mereka sering diberi paparan negatif sejajar tingkahlaku yang mereka tunjukkan di jalanan. Namun, disebalik kisah negatif ini, sebenarnya terdapat begitu ramai pemuda yang berminat dengan sukan permotoran ’sihat’ seperti yang dilakukan Zulfahmi. Ketiadaan peluang kadangkala menyebabkan cita-cita murni ini sering terbantut. Pakar motivasi selalu menyebut kadangkala sesuatu kejayaan itu gagal digenggam akibat ketiadaan peluang. Litar Sepang dan Pasir Gudang (Johor) adalah mahal dan terlalu jauh. Ia tidak lagi dapat menampung keperluan ’mat motor’ yang semakin ramai. Jarak yang jauh serta kos masuk yang mahal menutup peluang ramai yang berpotensi dalam sukan permotoran. Kebanyakan yang sanggup adalah mereka yang telah terpilih sebagai pelumba dengan tajaan maupun orang dewasa yang berkemampuan.

Demi memajukan sukan bolasepak dan badminton, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bermula peringkat kampung, daerah, negeri dan seterusnya negara. Usaha ini, amatlah kurang jika dinisbahkan kepada sukan permotoran sedangkan peminatnya juga tidak kurang ramai. Buktinya, Zulfahmi merupakan antara penyumbang besar kehadiran penuh penonton di Motogp Sepang, 2012 yang lalu. Maka, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menggalakkan perkembangan sukan permotoran ’sihat’ ini. Secara tidak langsung, masalah rempit, lumba jalan raya akan dapat dikurangkan. Walaupun sesetengah pihak masih beranggapan pelumba ’rempit’ ini lebih suka lumba jalanan, percayalah menyediakan prasarana yang baik, akan dapat mengubah persepsi ini.

Antara cadangan penulis kepada pihak kerajaan, Litar Lumba Mini dan Litar Lumba Sederhana perlu diperbanyakkan. Litar Lumba Mini boleh diwujudkan di beberapa daerah dalam sesebuah negeri. Sebagai contoh, di Perak terdapat sebuah litar lumba mini di Kampung Gajah, Perak. Walaupun keadaannya yang serba kekurangan, namun begitu banyak perlumbaan kecil-kecilan telah berjaya dianjurkan oleh pelbagai pihak terutamanya NGO. Sebagai cadangan tambahan penulis, litar mini seperti ini perlu ditambah di dua lagi tempat di Perak iaitu satu di bahagian utara (Kerian) dan satu lagi di bahagian Selatan (Batang Padang). Sebuah lagi litar sederhana perlu di bina di bahagian tengah (Perak). Litar-litar ini dibuat mengikut spesifikasi yang sederhana tanpa mengenepikan soal keselamatan. Bagi negeri-negeri lain, bilangan litar mini dan sederhana perlu dilihat kesesuaian keluasan negeri dan tempat tumpuan.

Adalah dicadangkan kerajaan menyediakan tapak serta membuat pembinaan bangunan dan litar seterusnya menyerahkan kepada pihak lain untuk mengurus dengan matlamat bukan membuat keuntungan besar-besaran. Dengan cara ini, penggunaan litar dapat diminimakan kos kepada setiap peserta yang ingin mengasah bakat maupun berlumba. Perbagai jenis perlumbaan boleh dibuat dengan satu litar seperti go-kart, motard, kapcai, motorsikal berkuasa tinggi, drift, drag race dan sebagainya. Perincian kaedah dan pengurusan hendaklah dibuat perbincangan dan mesyuarat yang lebih teliti. Tiga ciri penting litar-litar ini, prasarana yang disediakan dengan kos yang sederhana, pengurusan yang cekap serta kos yang murah bagi pelumba atau peserta.

Penulis sangat yakin, penyediaan prasarana ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah ’mat rempit’ atau lebih sesuai disebut ’mat motor’. Secara tidak langsung, perlumbaan peringkat cub prix dan sebagainya dapat diperluaskan tanpa perlu lagi menggunakan jalan-jalan raya yang terpaksa ditutup menjelang perlumbaan. Begitu banyak kos yang dapat dijimatkan untuk menganjurkan perlumbaan. Semakin ramai contoh seperti Zulfahmi, semakin baik kepada kerajaan dan masyarakat.

Berilah ruang dan peluang yang lebih kepada ’mat motor’ untuk mengasah bakat mereka secara sihat. Jika, Kelab Golf untuk golongan elit boleh dibina begitu banyak di Malaysia, apa salahnya litar lumba mini diperbanyakkan bagi golongan ’mat motor’ ini. Mengumpul mereka disatu tempat boleh dimanfaatkan dengan pelbagai lagi program yang baik seperti usaha dakwah, usaha kesihatan dan pelbagai lagi. Sukan Permotoran akan lebih meriah disamping masalah ’mat rempit’ pasti dapat dikurangkan. Seandainya masih lagi ada ’mat rempit’ yang berlumba dijalanan selepas prasarana disediakan, adalah amat wajar hukuman berat dikenakan .

Ustaz Asyraf Ismail
Bhg Penyelidikan
JAIPk


Semoga... jika ada sesiapa pembaca artikel di sini yang mempunyai kemampuan untuk mereliasasikan impian ini.. semoga ianya dapat dilaksanakan....



"Pengalaman membentuk keperibadian dan kematangan...."


Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda dialu-alukan untuk meninggalkan jejak dan ulasan...dan seboleh-bolehnya..tinggalkan nama anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...